Modul 1 | Modul 2 | Modul 3 | Forum Seminar (Modul 4)

Home

Seminar Perbankan dan Kewangan Islam Dalam Era Globalisasi
Forum Seminar (Modul 4)

ISU- ISU PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM DALAM ERA GLOBALISASI


En. Wan Ismail Wan Yusoh
Dr. Ghazali Atan
En. Ir. Hashim Husain
Ustaz Mohd. Bakir Hj. Mansor
En. Zakariya Othman Al- Haj


PENDAHULUAN


Isu-isu perbankan dan kewangan Islam merupakan satu tajuk yang sedang rancak dibincangkan iaitu dari sudut persiapan industri perbankan khususnya perbankan Islam ke arah globalisasi dan liberalisasi.

Pelan induk yang dilancarkan pada 1 Mac 2001, telah menggariskan bentuk sistem kewangan Malaysia pada tahun 2010. Pelan tersebut telah membahagikan perancangannya kepada 3 fasa. Fasa pertama memperlihatkan pengukuhan infrastuktur koperasi dan instrumen perbankan Islam. Fasa kedua akan berlaku keadaan persaingan sesama institusi kewangan. Manakala fasa ketiga dijangkakan berlaku pertembungan yang hebat di antara institusi domestik dan antarabangsa di mana keadaan integrasi persaingan dalam sektor kewangan akan terjadi.

Sistem perbankan Islam perlu lebih bersedia kerana sistem ini berada pada satu komposisi yang agak terkebelakang berbanding sistem perbankan Konvensional.

Kini, negara Malaysia cuba membentuk satu sistem kewangan Islam yang komprehensif dengan adanya penubuhan insuran secara Islam, pasaran modal Islam dan Pengurusan Aset (Asset Management) yang merupakan salah satu sistem sokongan kepada sistem kewangan Islam.


SISTEM KEWANGAN ISLAM DAN PERANANNYA


Pandangan umum menyatakan bahawa pasaran bagi ekonomi Islam adalah niche market atau pasaran yang kecil iaitu kurang daripada 2% dari jumlah aset yang dikendalikan secara Islam.

Hakikatnya, pasaran ekonomi Islam adalah lebih besar berbanding pasaran konvensional dari segi potensinya. Ini kerana orang Islam tidak boleh melabur atau mengambil manfaat daripada sistem yang berasaskan riba, manakala bagi orang-orang bukan Islam, mereka boleh melibatkan diri di dalam pasaran ekonomi Islam. Tetapi sekarang pasaran Islam kecil kerana ianya tidak digunakan atau masih belum dapat diperkembangkan dengan sempurna.

Tugas mengembangkan peranan fiqh muamalat dan pengurusan Islam seharusnya dipikul oleh para profesional muda di dalam bidang ini.

Usaha yang sedang dijalankan di Malaysia bagi mempertingkatkan pasaran ekonomi Islam terbahagi kepada dua, iaitu;

a) Islamisasi Konvensional Bank.

Aktiviti ini telah bermula sejauh awal 1990-an. Banyak cabaran yang terpaksa dilalui kerana bank-bank konvensional merupakan perantara melalui perantaraan bank. Apabila wang dimasukkan ke dalam bank, maka bank akan meminjamkan kepada orang yang ingin meminjam dengan ada cagaran (colleteral) dan sebagainya.

Pasaran tersebut telah diislamisasikan dan telah ada kemajuan contohnya pelaksanaan Bai- Bithaman Ajil dan Al- Wadiah. Kemajuan ini adalah sangat menarik dan dapat memberi perkhidmatan kepada para pelanggan.

Malangnya, ada yang berfikir bahawa sistem kewangan Islam hanya menawarkan perkhidmatan tersebut sahaja. Tetapi sebenarnya sistem kewangan Islam mempunyai potensi yang lebih besar dari sudut lain pasaran iaitu Perbankan Pelaburan (investment banking).

Di dalam pasaran ini, pihak bank akan menjadi perantara antara pelabur (investors) dan pengguna dana (users) melalui proses pengeluaran saham, bon dan lain-lain instrumen.

Proses ini adalah lebih mudah untuk diislamisasikan. Contohnya, di Malaysia telah ada cara untuk menapis ekuiti-ekuiti secara Islam dan bukan Islam yang agak jelas. Tetapi, dari segi isu bon, bank Islam tidak perlu mengeluarkan bon yang merupakan sijil hutang (debt certificate). Bon sebenarnya boleh diubah menjadi satu sekuriti lain yang bukan merupakan hutang berasaskan pelaburan dan ia boleh dibuat secara Musyarakah, Ijarah dan Mudharabah.

Aspek ini merupakan satu peluang keemasan yang masih belum berkembang. Di Malaysia sekarang hanya terdapat satu Ijarah bon sahaja. Manakala Mudharabah dan Musyarakah masih belum diamalkan. Dari segi potensi, pasaran modal Islam merupakan satu lapangan yang sangat luas yang boleh diperkembangkan. Jika pasaran ekuiti dan hutang Islam digabungkan, maka semua konsep syariah Islam boleh digunakan bukan sahaja Bai- Bithaman Ajil dan Mudharabah. Dengan ini, pasaran baru akan terbentuk dan ia adalah di antara pasaran ekuiti dan pasaran bon. Contohnya Bon Musyarakah atau Bon Mudharabah, ia ada elemen bon dan ekuiti.

Jadi, risiko profil akan lebih lengkap. Ini merupakan satu perkara yang perlu diterajui oleh Malaysia.

b) Peranan Pasaran Islam di dalam pengurusan makro ekonomi.

Pada peringkat awal, usaha telah dijalankan untuk mengislamisasikan bank. Hasilnya, Malaysia tidak dapat lari daripada pengerakan kadar faedah kepada ekonomi walaupun kadar pulang di dalam kontrak Islam boleh ditetapkan (flat rate). Tetapi dari segi ketahanan kepada pusingan pasaran masih dalam keadaan sama.
Contohnya, kegawatan ekonomi pada tahun 1997, apabila permintaan dan nilai matawang jatuh, para pengurus makro ekonomi (Bank Negara) terpaksa menaikkan kadar bunga untuk melindungi nilai matawang. Apabila perkara ini berlaku, didapati permintaan menurun, manakala kadar bunga meningkatkan pinjaman baru sukar didapati. Dengan kata lain hasil merosot, kos meningkat dan untuk memperolehi pinjaman baru susah.

Sekiranya diamalkan sistem kewangan Islam iaitu melalui pembahagian untung, di dalam suasana kegawatan, permintaan keuntungan dan kos dana sama-sama merosot kerana di dalam tempoh kegawatan, keuntungan menurun menyebabkan pembahagian untung sama ada tiada langsung atau kurang daripada biasa. Sistem kewangan Islam dapat mengelakkan daripada kejutan dalam kitaran modal.

Ini merupakan satu sumbangan besar dan menjelaskan bagaimana kewangan Islam boleh memainkan satu peranan besar di dalam ekonomi monopoli.

Malaysia perlu menerajui pembangunan ini. Didapati bahawa bank Islam, Islamic Investment Bank, Syarikat Pengurusan Aset, Syarikat Broker Saham dan sebagainya telah memainkan peranan penting dalam memperlihatkan pasaran ekuiti Islam dan pasaran bon Islam yang bukan berasaskan pinjaman tetapi berasaskan kontrak-kontrak syarikat Islam.


PERANAN SYARIKAT PENGURUSAN ASET (AMC)


Syarikat Pengurusan Aset (AMC) merupakan satu langkah untuk meningkatkan kecekapan. Di bank, pinjaman diberikan kepada orang yang menawarkan cagaran terbaik tetapi tidak semestinya mempunyai projek yang baik.

Melalui Syarikat Pengurusan Aset, undian yang lama akan dibuat bagi menentukan siapakah yang layak diberi pinjaman. Melalui pensekuritian, pengurus dana akan membeli dan menjual sekuriti tersebut, maka satu proses pengundian yang berterusan akan terjadi. Di mana sekiranya sesebuah syarikat lemah, ekonomi gawat dan pengeluaran bon tidak diuruskan dengan baik, harga sekuriti akan jatuh. Kesannya, adalah sukar bagi syarikat tersebut untuk mengeluarkan bon baru semula.

Melalui proses ini, wang akan masuk ke dalam syarikat yang baik dan keluar dari syarikat atau ekonomi yang tidak baik dan melalui proses inilah sumber dana diperolehi.

Keadaan tersebut amat mencabar. Negara Malaysia cuba mengelakkan keadaan ini dengan melaksanakan kawalan modal kerana bimbang kepada proses pengundian.

Proses pengundian secara berterusan oleh pengurus dana merupakan satu proses baru yang menjadikan ekonomi berlaku dengan lebih cekap jika dibiarkan tanpa gangguan. Tetapi kecekapannya menimbulkan masalah kepada syarikat-syarikat lama yang sudah mantap yang mungkin tidak efisien. Mereka cuba mengelak perubahan cara lama kepada cara baru. Ini bertujuan mengelakkan isu kerajaan korporat, aliran modal bebas, aliran pelaburan bebas dan sebagainya merupakan satu isu sensitif bagi syarikat besar dan ternama tapi mungkin tidak efisien, pengurusan yang lemah, penggunaan aset tidak sempurna.
Masalah ini telah melanda Asia Timur pada tahun 1997, iaitu dengan meletakkan sumber dana ke dalam syarikat besar melalui keputusan kerajaan atau bank dan bukan peruntukan pasaran.

Kesannya, pinjaman murah telah diberikan kepada syarikat besar tetapi mungkin tiada projek yang baik. Maka timbul ungkapan Kredit Murah Kepada Syarikat Yang Berkenaan (Cheap Credit to Related Company). Terdapat syarikat besar yang hanya memperolehi kadar jualan sebanyak 1.5%. Ini menjelaskan bahawa banyak berlaku pembaziran modal di dalam penggunaan cara lama.

Peranan AMC bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga halal. Bagi memastikan pengundian hanya kepada syarikat yang baik pengurusannya, proses undian oleh pengurus dana dilaksanakan setiap hari dengan melihat kepada pasaran yang baik dan seterusnya diberi sokongan. Manakala syarikat yang tidak diuruskan dengan baik tidak akan disokong.

Keadaan ini menuntut kepada kepakaran, pengurusan aset, mahir mikro ekonomi, makro ekonomi, hal ehwal politik, ciri-ciri perniagaan dan ekonomi. Para pelabur perlu lebih bijak. Kebebasan memilih ini adalah makna baru demokrasi serta cabaran baru di mana yang akan menang hanya yang berhak.


PERBANKAN ISLAM DI MALAYSIA DARIPADA
PERSPEKTIF PENGGUNA


Prinsip pengusaha yang utama terbahagi kepada dua. Pertama keutamaan diberi kepada pelanggan. Kedua dikiaskan sebagai kembali kepada yang pertama. Ini bermakna kedua-dua prinsip ini menitikberatkan pelanggan.

Peredaran masa telah membawa perbankan bergerak daripada perbankan tradisional seterusnya E-perbankan dan yang terkini Perbankan Bergerak (mobile banking).

Globalisasi pula menuntut pengetahuan integrasi dalam aktiviti-aktiviti utama yang terdiri kepada empat aktiviti iaitu pembelian, pembuatan, jualan dan perkongsian teknologi maklumat modal (fund information technology). Di dalam era ini sempadan teknologi adalah tidak terhad. Para pengusaha percaya bahawa teknologi boleh membawa kesan kepada ekonomi dan politik.

Sebagai pengusaha, keperluan terhadap bahan mentah adalah tinggi. Kebanyakan Bank Islam hanya bertemu dengan para pengusaha, namun mereka sepatutnya berusaha untuk lebih mengenali para pembekal.

Persaingan di dalam pasaran perbankan adalah sangat tinggi. Para pengguna akan mencari inisiatif yang terbaik bagi menguruskan perniagaan kerana keperluan ke atas kerjasama bank adalah tinggi. Ia bermula dari awal pusingan proses perniagaan iaitu proses pembuatan, kemudian penghantaran sebagai eksport ke luar negara, bank diperlukan untuk urusan logistik.

Sebahagian besar para pengusaha memulakan perniagaan dari bawah tanpa mengetahui keperluan ke atas harta dan sebagainya. Kebanyakan bank di Malaysia memberi tumpuan yang lebih kepada para usahawan tetapi tidak kepada aktiviti perniagaan atau projek yang dilaksanakan.

Kesannya, pengusaha perintis sukar memperolehi peluang pinjaman atas alasan tiada kepakaran dalam perniagaan. Maka pengusaha baru ini terpaksa mencari bank lain yang berminat ke atas projek yang dilaksanakan. Bank-bank seperti ini akan melihat potensi perniagaan tersebut dan akan terus memberi pinjaman sehinggalah syarikat tersebut mampu berdikari.

Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM) mestilah dilaksanakan dengan efisien. Bank Islam haruslah memikirkan cara terbaik untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.


PENYELARASAN PERLAKSANAAN DI TIMUR TENGAH
DAN MALAYSIA


Mazhab yang muktabar di dalam Islam terdiri dripada empat mazhab iaitu Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali mengikut urutan bilangan pengikut mazhab tersebut. Di Malaysia, pengamalan muamalat adalah mengikut akad-akad yang diharuskan di dalam Mazhab Syafie kerana umat Islam Malaysia merupakan pengikut Mazhab Syafie.

Islam pada asalnya tidak menghadkan sempadan perniagaan. Di mana perniagaan di Malaysia dan tempat lain adalah sama. Modal yang besar daripada negara Islam adalah di Timur Tengah. Masyarakat Islam di Timur Tengah mengikut Mazhab Hanafi.

Di sini berlaku pertentangan pendapat kerana wujud akad yang dihalalkan di dalam Mazhab Syafie dikira tidak halal di dalam Mazhab Hanafi. Contohnya di dalam pembiayaan hutang.

Bank Islam Malaysia Berhad pernah melalui kerugian besar di dalam pengamalan pembiayaan hutang melalui konsep Musyarakah dan Mudharabah.

Percanggahan pendapat lain seperti di dalam penentuan hutang dan harta. Di Malaysia, hutang dan aset adalah sama iaitu boleh disekuritikan, tetapi masyarakat Arab tidak bersetuju dengan pendapat ini disebabkan mereka tidak nampak hutang sebagai aset kerana hutang tidak dalam bentuk fizikal. Contohnya penjualan rumah menggunakan Bai Bithamanil Ajil, di mana hak pada penjual ialah hutang dan keadaan ini tidak diterima oleh orang Arab. Tetapi al-Ijarah diterima kerana aset masih ada dan sewa merupakan hak penjual. Contoh lain ialah Bai al-Inah. Imam Syafie berpendapat ianya harus tetapi dengan rukun yang lengkap dan syarat yang ketat. Manakal Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali pula bersepakat ianya tidak harus.

Fenomena yang terjadi di Malaysia ialah orang ramai berkehendak kepada wang dan aset. Tetapi Islam dasarnya menetapkan dengan penjualan harta barulah memperolehi wang. Maka fenomena di Malaysia berjaya diselesaikan dengan pengamalan akad Bai Bithaman Ajil.

Wujud perbezaan pendapat disebabkan perbezaan mazhab menyebabkan akad-akad yang dilaksanakan di Malaysia sukar diselaraskan dengan negara Timur Tengah. Walaubagaimanapun untuk memasuki pasaran Timur Tengah, Malaysia perlu mengggunakan akad yang dipersetujui bersama sahaja seperti bon berdasarkan Mudharabah, Musyarakah dan Ijarah sahaja.

Percanggahan pendapat di dalam Islam dikalangan individu atau golongan ke atas perkara-perkara cabang dibenarkan di dalam Islam.


CARA MENGATASI SALAH FAHAM TERHADAP
SISTEM PERBANKAN ISLAM


Di Malaysia wujud beberapa salah faham terhadap sistem perbankan Islam contohnya isu pembiayaan mahal, tetapi pada tahun 1997 dan1998 isu mahal ini hilang kerana bank konvensional mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi.

Setelah diteliti, masalah salah faham ini terjadi kerana kurangnya publisiti terhadap sektor perbankan Islam dan tiada Islamisasi ilmu. Di mana Bank Islam hanya menyenaraikan produk yang ditawarkan tetapi tidak dihebahkan kepada masyarakat.

Contohnya tentang kewujudan insuran Takaful, masih ramai para pengusaha yang tidak menyedari tentang insuran Islam ini dan kepentingan yang dibawanya. Ini kerana pada awalnya, syarikat ini mengharapkan masyarakat tampil sendiri untuk mendapatkan perkhidmatan. Banyak seminar dilakukan dengan mengundang para penceramah yang berwibawa, tetapi tidak ramai yang hadir.

Para professional sistem ini juga tidak begitu menonjol di Malaysia, contohnya Sheik Mizaan Yaquti seorang penasihat syariah di dalam Dow Jones. Selain itu Dr. Daud Bakar yang terkenal di United Kingdom di London dan USA serta terlibat di dalam majlis syariah Bank Negara. Hajah Rohani, seorang yang dikenali dan pernah dijemput oleh BBC. Namun di Malaysia mereka tidak diketengahkan.

Bagi mengetengahkan sistem perbankan Islam dan memulihkan salah faham di dalam sistem ini, kemahiran bahasa Inggeris yang baik amat diperlukan agar pengetahuan yang berkaitan mudah disebarkan kepada masyarakat. Langkah lain untuk meluaskan sistem perbankan Islam ialah melalui Islamisasi ilmu.

Banyak program boleh dilaksanakan untuk menyebarkan maklumat berkaitan sistem perbankan Islam contohnya melalui publisiti, pelaksanaan seminar, bengkel dan sebagainya.







ISU BERBANGKIT DALAM PERLAKSANAAN
SISTEM PERBANKAN DI MALAYSIA


1. Ustaz Mohd. Bakir menyatakan bahawa Bank Islam Malaysia Berhad menghadapi kerugian besar dalam pelaksanaan Mudharabah dan Musyarakah kerana pelanggan melarikan diri. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi kerana pelaksanaan Mudharabah dan Musyarakah adalah berdasarkan kepercayaan di antara pelabur dan peniaga. Pada zaman awal Islam, konsep ini banyak diamalkan contohnya oleh para saudagar Arab, Gujerat, Syam dan Yaman. Tetapi kini, masalah terjadi kerana tiada kejujuran di dalam perniagaan di kalangan umat Islam.

2. Komen daripada Dr. Ghazali Atan bahawa orang Islam hari ini telah lupa aspek besar untuk hidup sebagai umat Islam. Daripada aspek ibadah adalah baik, tidak dipertikaikan. Tetapi di dalam bermuamalah tiada kejujuran. Ini terjadi berkemungkinan daripada kelemahan dalam pendidikan dan dakwah kerana sifat amanah merupakan satu perkara pokok yang membawa kepentingan kepada kewibawaan ummah. Untuk menjadi amanah, seseorang perlu kuat di dalam tauhid. Malangnya bukan sahaja di Malaysia bahkan umat Islam seluruhnya, kuat beribadah tetapi lemah pada muamalah dan tauhid atau dengan kata lain muslim sebahagian.

3. En. Ir. Hashim Hussain berpendapat sebagai seorang peniaga, beliau memerhatikan kos kadar pulangan BIMB kadangkala rendah dan kadangkala tinggi. Situasi ini perlu diambil kira semula. BIMB harus mengambil tindakan yang bijaksana di dalam menjalankan perniagaan kerana para pengguna semakin bijak.

4. En. Zakariya Othman Al-Haj memberi pandangan bahawa untuk meningkatkan atau memperluaskan sistem perbankan Islam, sistem ini memerlukan publisiti yang menyeluruh melalui persidangan atau seminar. Selain itu kepada masyarakat bukan Islam, penerangan yang berhikmah adalah penting supaya maklumat tentang sistem perbankan Islam dapat disampaikan dengan cara mudah dan jelas.

Copyright KPKI @ 2001

Thank you for visiting our web site!
Resource Center College Of Islamic Banking & Finance
KPKI Copyright 2001 by KPKI Resources Centre. All rights reserved.
WebMaster: Azlan Mohamad Hamzah , Ahmad Bohari Ahmad Azahri
E-Mail : lanz_xoom@lycos.com