Modul 1 | Modul 2 | Modul 3 | Forum Seminar (Modul 4)

Home

Seminar Perbankan dan Kewangan Islam Dalam Era Globalisasi
Modul 1

PERKEMBANGAN DAN KEMAJUAN DALAM PERBANKAN
DAN KEWANGAN ISLAM


En. Rustam Mohd. Idris


PENGENALAN


Sistem perbankan Islam telah ditubuhkan untuk menggantikan kepada sistem konvensional yang sedia ada. Secara amnya, sistem perbankan Islam telah berkembang sejak tahun 1983 di bawah Akta Bank Islam 1983. Sistem ini diwujudkan ekoran daripada keperluan kepada sistem perbankan Islam. Agenda yang akan dibincangkan di dalam tajuk ini ialah mengenai pengalaman Malaysia iaitu imbasan sejarah perbankan Islam di Malaysia, dasar-dasar utama atau strategi yang dilaksanakan, perkembangan berkaitan yang melibatkan sektor-sektor lain dalam ekonomi, landskap kewangan Islam dan usaha-usaha di peringkat antarabangsa.

a) Pengalaman Malaysia

Sejarah awal perbankan Islam di Malaysia telah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran dan dalaman. Faktor-faktor luaran adalah dengan tertubuhnya Bank Islam yang pertama iaitu Dubai Islamic Bank di Dubai U.A.E dan Bank Pembangunan Islam (IDB) di Arab Saudi pada tahun 1975.

Pada tahun 1976 hingga 1985, penubuhan secara pesat institusi kewangan secara Islam di seluruh dunia. Langkah-langkah ini diikuti oleh beberapa negara Islam seperti Sudan, Pakistan dan Iran dengan menukarkan sistem perbankan kepada sistem perbankan Islam.

Faktor dalaman juga memainkan peranan yang penting dalam pengoperasian sistem perbankan Islam. Ianya disebabkan oleh gesaan masyarakat Islam di Malaysia ke arah penubuhan bank Islam ekoran kejayaan bank-bank Islam di Timur Tengah.

Di samping itu, ia juga dapat dilihat menerusi kejayaan Lembaga Tabung Haji sebagai institusi kewangan yang disegani yang telah terbukti kejayaannya yang merupakan institusi simpanan Islam.

Selain daripada itu, ianya juga disebabkan oleh kesedaran dan sikap pro-aktif kerajaan Malaysia untuk menyediakan satu saluran perbankan alternatif kepada umat Islam.

Kesemua faktor-faktor ini telah membawa kepada beberapa perkara penting yang telah dilaksanakan. Antara pelaksanaan yang telah dilakukan ialah penggubalan Akta Bank Islam 1983, penggubalan Akta Pelaburan Kerajaan 1983 dan penubuhan Bank Islam pertama di Malaysia pada tahun yang sama.



b) Akta Bank Islam 1983 (ABI)

Akta Bank Islam 1983 telah memberi kuasa kepada BNM untuk mengawalselia dan memantau bank-bank Islam. Antara ciri-cirinya ialah lesen perbankan universal kepada Bank Islam untuk menjalankan urusan perbankan Islam yang tidak bertentangan dengan syariah.

BNM juga perlu menjalankan pemeriksaan on-site secara berterusan iaitu dengan mengaudit setiap urusan perbankan Islam.

BNM juga perlu membuat penilaian dan kelulusan akaun tahunan bagi bank-bank Islam termasuk pembukaan cawangan-cawangan baru.

ABI juga memberi penekanan di atas pematuhan kepada keperluan pengawal seliaan iaitu seperti CAR, SRR dan LRR.

Bank-bank Islam juga perlu mengemukakan data statistik secara berterusan kepada BNM. Bukan itu sahaja, bank-bank Islam perlu menubuhkan jawatankuasa dalaman syariah dalam setiap penubuhannya.

c) Akta Pelaburan Kerajaan 1983 (APK)

Akta ini membolehkan kerajaan mengeluarkan sijil atau bon Pelaburan Kerajaan berdasarkan prinsip Islam.

Tujuannya supaya membolehkan bank-bank Islam mematuhi keperluan mudah tunai dan melabur lebihan dana yang tidak digunakan secara sementara.

Antara jenis bon kerajaan yang dikeluarkan setakat itu ialah Sijil Pelaburan Kerajaan (SPK) yang ditubuhkan sejak 1983 berdasarkan konsep Qardhul Hasan.

d) Penubuhan BIMB pada tahun 1983

Penubuhan BIMB dalam bulan Julai 1983 sebagai Bank Islam pertama merupakan langkah awal atau peringkat pertama perbankan Islam.

Operasi-operasi BIMB dari tahun 1983 hingga 1992 telah dianggap sebagai tahun-tahun monopoli kerana keputusan kerajaan untuk memberi tempoh 10 tahun kepada BIMB untuk berkembang, membenarkan BIMB beroperasi tanpa saingan yang boleh menjejaskan pertumbuhannya dan yang terakhir sekali memberi peluang kepada Bank Islam mencipta sebanyak mungkin produk perbankan Islam.

Manakala pada tahun 1990 pula, BNM telah menggariskan wawasan untuk mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang komprehensif dan beroperasi sebelah menyebelah dengan sistem kewangan konvensional.




e) Sistem Dwi Perbankan

Sistem Dwi Perbankan telah dipecahkan kepada dua pernyataan visi. Pernyataan visi yang pertama pada tahun 1990 di mana ia mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang komprehensif seiring dengan sistem kewangan konvensional.
Pernyataan visi yang kedua pula ialah pada tahun 2001 di mana ia mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang cekap, berkembang maju dan komprehensif yang dapat menyumbang kepada keberkesanan dan kecekapan sektor kewangan Malaysia dalam mencapai keperluan ekonomi negara.

Sistem ini wujud disebabkan oleh sesebuah bank Islam tidak mencerminkan satu sistem perbankan kerana ia memerlukan peserta-peserta yang ramai ekoran daripada produk-produk yang banyak.

Dengan itu, umat Islam di Malaysia akan mempunyai pilihan untuk menggunakan sistem perbankan yang selaras dengan agama mereka.

Bukan itu sahaja, ianya dapat menyediakan satu perbankan alternatif yang baru dan lebih luas kepada rakyat yang membolehkan masyarakat membuat pilihan produk secara Islam atau konvensional.

Sistem Dwi Perbankan juga ditubuhkan ekoran daripada penubuhan perantara-perantara kewangan yang baru untuk menyokong Sistem Dwi Perbankan di mana senarai produk kewangan Islam akan menjadi lebih komprehensif.

Akhir sekali, tahap kecanggihan produk dan perkhidmatan yang lebih tinggi dalam era Teknologi Maklumat dan persekitaran berasaskan ilmu pengetahuan dapat merangsangkan Sistem Dwi Perbankan.


DASAR-DASAR UTAMA

Pada tahun 1993, sistem perbankan Islam telah membuat satu pengenalan Skim Perbankan Islam (SPI) bagi Fasa 2. Skim Perbankan Islam ini sepanjang tempoh 1993 hingga 2000 telah mengambil langkah-langkah atau dasar-dasar yang utama dengan cara menubuhkan pasaran wang secara Islam, menzahirkan kewangan dengan sasaran 5 % serta memperluaskan cawangan perbankan Islam. Di samping itu ditubuhkan Majlis Penasihat Syariah sepusat dan Penubuhan Bank Islam yang ke 2 iaitu Pelan Induk Perbankan Islam dan Takaful. Di BNM juga terdapat Jabatan Perbankan Islam dan Takaful yang ditubuhkan.

a) Skim Perbankan Islam

Sebahagian daripada strategi untuk membangunkan sistem perbankan Islam ialah dengan mewujudkan jumlah peserta yang ramai. Antara kaedah yang paling berkesan untuk menyebarkan perbankan Islam kepada orang ramai ialah dengan menggunakan kos yang paling rendah dalam tempoh yang paling singkat. Di bawah SPI, institusi perbankan konvensional dibenarkan menawarkan produk perbankan Islam dengan menggunakan prasarana yang sedia ada. BNM telah menggariskan panduan SPI di bawah BAFIA antara lain, seksyen 32 tidak membenarkan berurusniaga barangan yang haram seperti arak dan judi. Seksyen 124 pula telah memberi laluan kepada bank konvensional untuk menjalankan aktiviti perbankan Islam di bawahbahagian perbankan Islam. Skim ini bersifat voluntary dan tertakluk kepada semua garis panduan BNM.

b) Ciri-ciri Skim Perbankan Islam (SPI)

SPI ini adalah aktiviti sukarela dan BNM tidak memaksa semua bank menyertainya. Skim ini bersifat voluntary. Sekiranya bank konvensional menyertai SPI, mereka mestilah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh BNM. Antara garis panduan yang telah ditetapkan oleh BNM ialah bank dikehendaki menubuhkan `Islamic Banking Division (Bahagian Perbankan Islam) dan mestilah diketuai oleh kakitangan Islam sekurang-kurangnya Penolong Pengurus Besar. Sementara itu, bank SPI mesti memperuntukkan dana perbankan Islam sebagai modal kerja bagi perbankan Islam.

Bank-bank SPI hendaklah mempunyai akaun semasa atau penjelasan secara Islam yang berasingan dengan BNM. Manakala kod keahlian bagi pemegang akaun SPI juga berasingan dalam RENTAS (Real Time Electronic Transfer of Funds and Securities). Terdapat juga sistem penjelasan cek yang berasingan dalam SPICK (Sistem Penjelasan Imej Cek Kebangsaan). Bank SPI juga mestilah mempunyai pelaporan statistik yang berasingan dalam FISS (Financial Institutions Statistical System).

c) Bank-bank Skim Perbankan Islam (SPI) dan Produk

Kini bilangan bank SPI yang terdapat di Malaysia adalah sebanyak 9 kumpulan perbankan tempatan, Bank perdagangan : 9, Syarikat Kewangan : 8, Bank Saudagar : 5, Bank Asing : 4, Syarikat diskaun : 7 dan jumlah kaunter SPI adalah sebanyak 2,200 kaunter.

Bilangan produk pula mencapai angka lebih daripada 30 produk. Antaranya produk pengambilan deposit iaitu akaun semasa, akaun simpanan dan akaun pelaburan. Manakala produk pembiayaan pula terdiri daripada produk pembiayaan runcit, pembiayaan korporat dan pembiayaan perdagangan. Semua perkhidmatan di SPI adalah berdasarkan kepada yuran dan ia adalah sama dengan perkhidmatan perbankan biasa.

d) Langkah-langkah dasar utama yang diambil

1) Pasaran Wang Secara Islam

Pasaran wang secara Islam adalah pasaran yang pertama di negara ini di mana ia telah ditubuhkan pada bulan Januari 1994. Di dalam pasaran wang secara Islam ini terdapat dua komponen yang utama, iaitu;

i) Pelaburan Mudharabah Antara Bank
Pelaburan jenis ini membolehkan bank yang mempunyai lebihan dana melabur dalam bank yang kekurangan dana berdasarkan konsep Mudharabah. Biasanya tempoh matang pelaburan adalah sehingga 1 tahun dari tarikh mula melabur dan nisbah perkongsian untung telah dipersetujui bersama.

ii) Urusniaga nota Islam
Antara jenis nota yang ada di pasaran ialah IAB (Bil Pertukaran Islam/Islamic Accepted Bill) IDS, ICPs, INIs, BMC (Bon Mudharabah Cagamas) dan GII. Pada November 2000, BNM telah mmeperkenalkan instrumen baru iaitu Nota Boleh Niaga berdasarkan Bai Al-Inah, kaedah menjual sesuatu barang dengan harga tangguh kemudian membelinya balik daripada pembeli secara tunai dengan harga yang kurang daripada harga jualan.

Pasaran wang secara Islam telah mencatatkan pertumbuhan yang tinggi daripada RM2.1 billion pada tahun 1994 meningkat kepada RM301.9 billion pada akhir Disember 2000. Manakala jumlah urusniaga harian di antara RM3b RM4b.

2) Penzahiran Kewangan

Bank SPI merupakan model laporan kewangan di mana laporannya memasukkan penzahiran operasi perbankan Islam sebagai subset laporan utama. Contohnya Kunci Kira-kira dan Penyata Untung Rugi bagi operasi perbankan Islam dilaporkan di dalam Nota Akaun bagi memudahkan pendeposit atau pelabur membuat keputusan dan menilai prestasi SPI melalui jumlah aset, deposit dan pembiayaan perbankan Islam.

3) Sasaran 5 % oleh Bank Negara Malaysia

BNM telah memberi garis panduan kepada sektor perbankan Islam untuk menguasai pasaran dari segi aset sekurang-kurangnya 5 % sebelum akhir tahun 2000. Menjelang akhir 2000, industri perbankan Islam telah mencapai lebih daripada sasaran iaitu 6.9 % dan ini menunjukkan peningkatan terhadap pertumbuhan ekonomi seterusnya dalam sektor perbankan Islam.

4) Cawangan Perbankan Islam

BNM berhasrat untuk menambahkan lagi cawangan perbankan Islam di mana sektor ini memberi keuntungan yang lumayan. Justeru itu, BNM menggalakkan bank-bank SPI supaya membuka cawangan perbankan Islam sepenuhnya di mana sebanyak 9 cawangan SPI telah dibuka dan beroperasi di 122 cawangan bank-bank Islam.

5) Majlis Penasihat Syariah Sepusat

Bagi memastikan institusi perbankan Islam ini konsisten dan seragam maka BNM telah mengambil langkah menubuhkan Badan Penasihat Syariah Sepusat pada Mei 1997 bagi mengawasi dan mengawalselia SPI berada dalam landasan syariah Islam. Pada tahun 1997 juga BNM telah menubuhkan badan syariah yang terulung di Malaysia untuk industri perbankan Islam dan takaful yang terdiri daripada para ulama, ahli akademik dan pakar perbankan Islam. Dalam hal ini, Majlis Penasihat Syariah BNM saling bekerjasama dengan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.

6) Bank Islam Kedua

Langkah dasar utama yang diambil adalah menubuhkan Bank Islam Kedua yang mula beroperasi pada 1 Oktober 1999. Penubuhannya adalah berikutan penggabungan BBMB dan BOCB. Kesemua asset perbankan Islam BOCB, BBMBK (Syarikat Kewangan) dipindahkan ke BBMB. Manakala asset konvensional BBMB dan BBMBK dipindahkan pula ke BOCB. Kini BBMB telah ditukarkan nama kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad. Di mana Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) telah menyerahkan lesen BAFIA dan kemudian dilesenkan semula di bawah Akta Perbankan Islam. Seramai 1,000 orang kakitangan BBMB, BOCB dan BBMBK diserapkan ke BMMB. Dengan modal berbayar berjumlah RM300 juta dengan pembukaan 40 buah cawangan peringkat permulaan.

7) Pelan Induk Perbankan Islam dan Takaful

Langkah dasar utama yang diambil adalah menubuhkan pelan induk perbankan Islam dan Takaful yang merupakan salah satu bahagian dalam Pelan Induk Sektor Kewangan yang dilancarkan pada 1 Mac 2001 dan satu lagi bab khusus untuk perbankan Islam dan Takaful. BNM telah menggariskan pelan yang strategik untuk perbankan Islam dan takaful untuk tempoh 10 tahun akan datang.

8) Penubuhan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful (JPIT)

Sebagai langkah mewujudkan dasar-dasar utama maka ditubuhkan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful pada 2 Oktober 2000 untuk mencapai objektif peningkatan penembusan pasaran perbankan Islam dan takaful dalam sistem kewangan di Malaysia.

JPIT bertanggungjawab untuk merangka pelan strategik dan polisi-polisi yang sesuai untuk perbankan dan kewangan Islam yang berlandaskan syariah Islam.



PERKEMBANGAN BERKAITAN PERBANKAN DAN KEWANGAN ISLAM


Kejayaan pelaksanaan Perbankan Islam memberi kesan limpahan kepada pasaran kewangan dan lain-lain pengantara kewangan. Pasaran dan pengantara kewangan itu adalah:-
a) Syarikat-Syarikat Takaful
b) Pasaran Modal Islam
c) Ekuiti Modal Islam
d) Pasaran Kewangan Antarabangsa Islam
e) AIBIM (Association of Islamic Banking Institutions In Malaysia)
f) IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia)
a) Syarikat- syarikat Takaful

Syarikat-Syarikat Takaful yang ada pada masa sekarang adalah untuk melengkapkan operasi bank-bank Islam dan institusi-institusi perbankan Islam. Syarikat-syarikat takaful ini dikawalselia di bawah perundangan yang berbeza dengan perbankan Islam iaitu, Akta Takaful 1984. Syarikat Takaful yang pertama ditubuhkan adalah pada tahun 1984. Berikut adalah perkembangan terkini sektor takaful:-

1) Terdapat dua syarikat takaful, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Takaful Nasional Sendirian Berhad (TNSB)
2) Takaful keluarga dan takaful am menunjukkan pertumbuhan yang pesat iaitu, pertumbuhan tahunan sebanyak 68% dari tahun 1986 2000.
3) Jumlah takaful keluarga dan takaful am adalah di antara RM 2 juta pada tahun 1986 dan RM 1.2 bilion pada tahun 2000


b) Pasaran Modal Islam

Pasaran Modal Islam ini di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti (SS) berjaya diwujudkan ekoran kejayaan sistem perbankan Islam. Elemen-elemen yang terdapat di bawah Pasaran Modal Islam ini adalah, Pasaran Ekuiti dan Pasaran Hutang Islam. Di bawah Pasaran Ekuiti terdapat Amanah Saham Islam, Indeks Islam BSKL, Kaunter Halal (MPS SS), Firma broker saham secara Islam dan Jendela broker saham Islam. Manakala, untuk Pasaran Hutan Islam pula, terdapat Bon Islam, Nota Dagang Islam, Bon Khazanah (bon tanda aras) dan Bon Mudharabah Cagamas. Pasaran Hutang Islam ini meliputi 28.5% daripada pasaran hutang swasta.

c) Pasaran Ekuiti Amanah Saham dan Broker Saham Islam

Terdapat 17 tabung Amanah Saham secara Islam di pasaran pada akhir 31 Mac 2000. Tiga tabung amanah ini dipegang oleh kerajaan dan 14 tabung lagi dipegang oleh pihak Swasta. Jumlah dana yang terkumpul adalah sebanyak RM 6.0 bilion.
Untuk Broker Saham Islam pula, terdapat sebuah firma broker saham Islam dan tiga jendela broker Saham Islam oleh syarikat-syarikar broker saham konvensional. Broker Saham Islam ini bertindak sebagai broker untuk membeli dan menjual saham yang telah disahkan oleh Majlis Pengawasan Syariah Suruhanjaya Sekuriti (MPS SS)

d) Indeks Islam BSKL

Telah diperkenalkan pada April 1999. dan berfungsi adalah untuk menjejaki prestasi saham-saham yang berlandaskan syariah di dalam BSKL. Ianya dibina daripada kaunter-kaunter yang diluluskan oleh MPS Suruhanjaya Sekuriti. Pada 27 April 2001, kira-kira 627 atau 78% daripada sekuriti-sekuriti yang diluluskan tersenarai di dalam BSKL.




e) AIBIM dan IBFIM

AIBIM (Association of Islamic Banking Institutions In Malaysia Islamic Banking Institutions In Malaysia) terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dan sistem perbankan Islam yang lain-lain. AIBIM merupakan pertubuhan institusi-institusi perbankan Islam di Malaysia. Ianya ditubuhkan bertujuan untuk mengemaskini dan memantapkan lagi operasi perbankan Islam di Malaysia. Di samping itu, ianya juga menyeragamkan operasi sistem perbankan Islam di bank-bank Islam. AIBIM juga bertindak sebagai platfom untuk menyuarakan pandangan atau isu perbankan Islam secara kolektif khususnya kepada Bank Negara Malaysia (BNM)

IBFIM (Islamic Banking and Finance Institute Malaysia) adalah institut latihan untuk perbankan Islam dan syarikat kewangan Islam di Malaysia. IBFIM pada asalnya adalah BIMB Research and Training (BIRT), telah ditukar kepada IBFIM secara rasminya pada Februari 2001 dan juga dimiliki oleh seluruh industri Perbankan Islam. Matlamat utama IBFIM adalah untuk melahirkan golongan yang pakar dalam perbankan konvensional dan perbankan Islam serta syariah.


LANSKAP KEWANGAN ISLAM


Mengikut perancangan yang telah dibuat oleh SPI, Bank Islam merupakan bank yang terbesar menguasai 20 % daripada saham perbankan dan insuran yang kukuh pada tahun 2001. Institusi Perbankan Islam dan syarikat Takaful akan kukuh dan mempunyai modal yang besar iaitu RM10 billion. BNM telah merangka pengawalan syariah yang lengkap dan menubuhkan institusi perundangan yang khusus untuk kewangan Islam. Maka, sekumpulan individu dan pasukan pengurusan yang terlatih dan berkaliber akan dipilih supaya Malaysia akan menjadi pusat kewangan Islam yang terulung di rantau ini (Rujuk lampiran V).


PERKEMBANGAN GLOBAL INDUSTRI KEWANGAN ISLAM


Untuk mencapai perkembangan yang lebih kukuh dan komprehensif di dalam industri perbankan Islam, peningkatan kerjasama yang erat dan komitmen antara negara-negara Islam adalah diperlukan. Disamping itu juga, sumbangan dan penyertaan oleh negara-negara Islam diperlukan untuk menghubungkan jurang antara negara-negara Islam di dalam perkembangan industri perbankan Islam dalam negara mereka. Keseragaman pasaran dan kehematan perbankan dan kewangan Islam boleh diperbaiki lagi untuk menjadikan perbankan dan kewangan Islam satu pasaran yang telus.

Malaysia pada hari ini, menjadi penyumbang utama kepada perkembangan perbankan dan kewangan Islam di peringkat antarabangsa. Ini kerana, Malaysia mempunyai struktur sistem Perbankan dan kewangan Islam yang tersusun. Malaysia juga telah merumuskan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang sesuai dalam menghasilkan struktur kewangan Islam yang telah ditetapkan agar ianya lebih kukuh dan komprehensif.


USAHA-USAHA DI PERINGKAT ANTARABANGSA


a) Labuan sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa (LOFSA)

Usaha sedang giat dijalankan untuk menjadikan Labuan sebagai Pusat Kewangan Islam serantau. Ianya dimulakan dengan penubuhan pasaran kewangan Islam antarabangsa secara usahasama dengan Bank Pembangunan Islam (IDB) dan juga bank-bank pusat terpilih. Perjanjian Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara IDB, Bahrain Monetary Agency, Bank of Sudan, Bank Indonesia dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan dan dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun 2001.


b) International Islamic Financial Market (IIFM)

Bank Negara Malaysia, LOFSA, Bank-bank Islam, dan beberapa buah bank pusat sedang aktif mengadakan mesyuarat pada tahun lepas untuk menubuhkan IIFM. IIFM akan ditubuhkan untuk menggalakan penjanaan mudah tunai dan instrumen kewangan di kalangan bank-bank Islam di peringkat antarabangsa. Ini kerana, pada ketika ini bank-bank Islam di antarabangsa tidak mempunyai pasaran wang secara Islam. Hanya Malaysia sahaja yang mempunyai pasaran wang secara Islam. IIFM membuka peluang-peluang pelaburan dan menggerakkan dana-dana Islam secara aktif. Terdapat dua model yang terlibat :-
i. IIFM di peringkat Malaysia
ii. LMC (Liquidity Management Center) yang dibangunkan di Bahrain.
Diharapkan penubuhan IIFM dapat menyelesaikan masalah yang dialami oleh bank-bank Islam, khususnya dalam pelaburan produk tunai.


c) Islamic Financial Services Organization (IFSO)

Dalam tempoh satu atau dua tahun lagi, IFSO akan ditubuhkan sebagai sebuah organisasi antarabangsa untuk menyelaraskan dan menyeragamkan sistem pengawalan dan penyediaan berhemat untuk institusi kewangan Islam. Pelarasan ini penting kerana negara Islam kini menggunakan piawaian yang berbeza sehingga menyukarkan sistem perbankan Islam digunakan untuk perdagangan. Oleh yang demikian, IFSO mengeluarkan standard yang sama untuk sistem perbankan Islam. Penubuhan IFSO bukan sahaja membantu memantapkan perbankan Islam, malah membolehkan negara Islam yang mempunyai banyak wang, menyimpan melalui sistem perbankan Islam.
Struktur IFSO terdiri daripada:-
i. Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB)
ii. Jawatankuasa Teknikal
iii. Sekretariat
Diharapkan penubuhan IFSO dapat menjadi satu badan untuk mengawalselia sistem perbankan dan kewangan Islam dan juga dapat memberi manfaat kepada semua.


d) AAOIFI (Accounting and Auditing Organization of Islamic Financial Institutions)

AAOIFI ditubuhkan untuk memajukan piawai perakaunan dan pengauditan bagi institusi kewangan Islam. Setakat ini, hanya Bahrain dan Sudan yang mengaplikasikan AAOIFI di dalam kewangan mereka. AAOIFI telah menerbitkan 12 garis panduan termasuklah standard perakaunan kewangan dan juga kod etika untuk para perakaunan dan juruaudit bank-bank Islam dan institusi-institusi kewangan AAOIFI beribupejabat di Bahrain.


e) IRTI (Islamic Research and Training Institute)

IRTI yang beribupejabat di Jeddah ditubuhkan sebagai satu organ IDB untuk melakukan penyelidikan dan menyelia institut latihan dan pendidikan ekonomi Islam dan kewangan Islam. IRTI menganjurkan persidangan dan seminar untuk meningkatkan tahap kesedaran pasaran dan untuk menggalakan kewangan Islam lebih telus.


f) IIRA (International Islamic Regional Agency)

IIRA akan ditubuhkan sebagai agensi penarafan antarabangsa bagi institusi kewangan Islam dan produk-produk kewangan Islam. IIRA juga dijangka ditubuhkan di bawah naungan Bank Pembangunan Islam (IDB)


ISU BERKAITAN SISTEM PERBANKAN ISLAM


1. Sistem Perbankan Islam yang dijalankan oleh Bank Konvensional tidak memperuntukkan SRR (Statutory Reserve Requirements) di Bank Negara Malaysia (BNM). Keadaan ini memberi keburukan kepada Bank Islam kerana jumlah dana yang digunakan adalah terhad. Apabila bank konvensional menawarkan produk perbankan Islam, SRR ditampung oleh bank konvensional itu sendiri.

Dalam masalah ini, BNM belum membuat perbezaan SRR antara Sistem Perbankan Islam dan Bank Konvensional. Kewajaran kepada perbezaan SRR untuk kedua-dua sistem ini belum dapat dipastikan kerana jika SRR dilaksanakan untuk sistem perbankan Islam sahaja, ianya masih diperingkat kajian kerana ia perlu mengkaji fakfor-faktor kepada sistem perbankan Islam dan mengambil kira keburukan kepada BNM. Contohnya, setiap RM 1 di dalam Bank Islam, memberi nilai 4 sen di BNM.

2. Sistem Perbankan Islam telah menawarkan pelbagai produk-produk perbankan Islam di pasaran. Tetapi, sesetengah produk yang ditawarkan tidak diterangkan secara teliti dan terperinci oleh pihak bank. Ini menimbulkan kekeliruan kepada mereka yang tidak memahami secara keseluruhan.

Sebagaimana yang telah difahami, setiap produk perbankan Islam mendapat kelulusan BNM. Setakat ini, BNM telah menubuhkan dua jawatankuasa perunding yang khusus kepada peserta-peserta industri. Dua jawatankuasa tersebut adalah, Jawatankuasa Pembangunan Pasaran (Committee of Market Development) dan Jawatankuasa Penyelidikan Pasaran (Committee of Market Research). Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk menyelaraskan segala perkara-perkara yang berkaitan dengan isu dan produk sistem perbankan Islam. Pihak BNM memang menyedari terdapat kekeliruan tentang istilah perbankan Islam. Istilah perbankan Islam telah diseragamkan untuk mengatasi masalah tersebut. Ianya juga dapat diatasi di mana bank-bank sistem perbankan Islam itu sendiri mengambil inisiatif untuk menyelesaikan masalah. Manakala, BNM bertindak sebagai pemantau dari masa ke semasa.

3. Berhubung dengan syariah, terdapat perselisihan pendapat dalam konsep perbankan Islam. Isu yang dipertikaikan di sini ialah tindakan yang diambil oleh BNM untuk mengurangkan khilaf.

Merujuk isu khilaf di atas, memang terdapat Jawatankuasa Syariah di BNM. Tugas Jawatankuasa Syariah ini adalah untuk menggariskan isu-isu yang berlawanan, isu-isu yang berkaitan dengan syariah dan juga isu-isu bukan syariah berhubung dengan istilah sistem perbankan Islam. BNM sendiri tidak pasti sama ada isu-isu yang dibangkitkan itu adalah isu syariah atau isu operasi, tetapi ianya dikaitkan dengan syariah.

Thank you for visiting our web site!
Resource Center College Of Islamic Banking & Finance
KPKI Copyright 2001 by KPKI Resources Centre. All rights reserved.
WebMaster: Azlan Mohamad Hamzah , Ahmad Bohari Ahmad Azahri
E-Mail : lanz_xoom@lycos.com